Lawatan Sambil Belajar Sahabat Surau Nurul Iman


PTAR UiTMCPP Kampus Permatang Pauh - Satu sesi lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Pulau Pinang telah berlangsung pada 15 Disember 2023 yang lalu. Lawatan oleh Sahabat Surau Nurul Iman, Taman Serai Wangi Fasa 1, Padang Serai, Kulim, Kedah ini telah disertai oleh seramai 41 orang pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah bersama 4 orang pengiring yang terdiri daripada kariah Surau Nurul Iman.

Kehadiran sahabat surau ini merupakan jalinan yang julung-julung kali diadakan di antara PTAR UiTMCPP dengan Sahabat Surau Nurul Iman. Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas tentang perpustakaan UiTMCPP dan diikuti dengan Program Speed Reading yang dikendalikan oleh Puan Farleen Azrina Zamberi, Pustakawan Kanan di PTAR UiTMCPP. Program ini diadakan untuk memberi penerangan kepada para peserta bagaimana mengaplikasi teknik bacaan pantas dalam pembacaan seharian dan meningkatkan ingatan dan cara berfikir. Para pelajar juga diberikan latihan asas membaca pantas untuk pemahaman yang lebih baik mengenai bacaan pantas.



Program pagi itu diteruskan dengan aktiviti ExploREAD yang melibatkan 3 cabaran buat pelajar iaitu aktiviti K-A-Ranger Challenge, Card Tower Challenge dan Word Swatter Challenge. Pelajar telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan perlu menyelesaikan aktiviti yang diberikan di dalam kumpulan. Aktiviti ini dapat memupuk semangat berpasukan selain memacu minda kreatif dan pengetahuan ahli kumpulan tentang perpustakaan. Diharap lawatan sambil belajar ini dapat mencapai objektif yang telah digariskan selain dapat memberikan sedikit gambaran kepada para pelajar tentang kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan di UiTM Cawangan Pulau Pinang.





Comments