Safer Internet Day 2025
Bahagian Infostruktur UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTMCPP, Pusat Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat (PJIAM), Bahagian Pentadbiran, dan Bahagian Bendahari UiTMCPP telah menganjurkan Program Safer Internet Day (SID2025). Program ini bertujuan untuk mempromosikan keselamatan internet dengan mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan warga digital.
Safer Internet Day (SID) disambut di peringkat global pada 11 Februari setiap tahun dan untuk tahun 2025, tema sambutan adalah "Together for a better internet". Di Malaysia, SID diterajui oleh Cybersecurity Malaysia di bawah program Cybersafe dengan sokongan Kementerian Digital. Program ini telah diadakan pada 13 Februari 2025 (Khamis) dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Ruang LCE, PTAR UiTMCPP.
Program Safer Internet Day 2025 ini telah dirasmikan oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, Ketua Pegawai Digital (CDO), Jabatan Digital UiTM. Selepas perasmian, beliau turut melawat reruai pameran yang disediakan oleh rakan strategik program yang terdiri daripada Digital Penang, Switch, Urban Republic by Switch, Affin Bank, Bank Rakyat, PDRM, MCMC serta penyertaan oleh Bahagian Infostruktur dan PTAR UiTMCPP.
Program diteruskan dengan sesi ceramah pertama dengan tajuk "Too good to be true, elak jadi mangsa penipuan online" yang disampaikan oleh ASP Beng Hui Anak Lakim dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Seterusnya, ceramah kedua disampaikan oleh Encik Muhammad Akmal Che Rose, Penolong Pengarah dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Utara.
Pada sebelah petang, sesi ceramah diteruskan dengan tajuk "Scammer alert" yang disampaikan oleh Encik Ahmad Shah bin Noordin dari Bank Kerjasama Rakyat. Ceramah terakhir disampaikan oleh Encik Aliff Azlan dari Switch Malaysia yang bertugas sebagai Switch Experts Advocacy and Customer Solution Training Lead. Tajuk yang disampaikan ialah tentang privasi dan keselamatan digital bagi pengguna IOS.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran warga UiTMCPP mengenai keselamatan siber dan memberi panduan dalam mengelakkan ancaman dalam talian. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan keselamatan digital dalam kalangan warga UiTM terus terjamin.
Comments
Post a Comment