Sambutan Maal Hijrah dan Perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang

Pada 30 Julai 2024, bertempat di ruang LCE PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah diadakan majlis sambutan Maal Hijrah dan majlis perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Acara petang itu telah dimulai dengan bacaan Surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 10 yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Fauzan Md Nor, Pegawai UHEI UiTM Cawangan Pulau Pinang. Setelah berakhir bacaan Surah Al-Mukminun, Ustaz Muhammad Che Saad selaku penceramah jemputan telah menyampaikan ceramah Maal Hijrah yang bertajuk Al-Falah Pemacu Malaysia Madani. Antara isi penting ceramah yang disampaikan sepanjang satu jam itu adalah bagaimana mencapai Al-Falah (kemenangan) dalam kehidupan.

Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar. Di dalam ucapan, beliau menyatakan objektif penyediaan Sudut IQRA ini merupakan salah satu inisiatif PTAR Cawangan Pulau Pinang bagi memenuhi konsep 3R (Religion, Race and Royal). Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) merupakan ruang yang kondusif untuk pembelajaran dan interaksi berkaitan Al-Quran serta bacaan ‘self-healing’. Selain itu, matlamat utama Sudut IQRA’ (Rumah Ngaji@PTAR) ini adalah untuk menggalakkan penghayatan al-Quran dan pembudayaan ilmu dalam kalangan warga UiTM Cawangan Pulau Pinang serta komuniti sekitar.


Majlis perasmian Sudut IQRA diteruskan dengan ucapan oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang YBhg. Profesor Dato' Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Bin Razali yang seterusnya melaksanakan gimik perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR). Acara berakhir selepas para hadirin menonton video montaj Perjalanan Penubuhan Sudut IQRA & Program Pembudayaan Ilmu PTAR bersama Rumah Ngaji Pulau Pinang & PTJ UiTM Cawangan Pulau Pinang dan acara bergambar serta lawatan ke Sudut IQRA.

Program Sambutan Maal Hijrah dan Perasmian Sudut IQRA (Rumah Ngaji@PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang ini telah dihadiri oleh Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang ; Tuan Haji Taufek Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang ; Puan Zaiton @ Zariyah Abdullah, Penyelaras Pembangunan Sosio Ekonomi YaPEIM ; Encik Fahmi Abdul Jamil, Ketua Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) ; Ustaz Zamri Samsudin dan barisan jawatankuasa eksekutif negeri UiTM Pulau Pinang. Seramai 146 orang peserta yang terdiri daripada 87 orang staf UiTM Cawangan Pulau Pinang dan 59 orang ahli Rumah Ngaji Pekan Darat Pulau Pinang telah menghadiri majlis ini.





 

Comments