TEKAD di UiTM Cawangan Pulau Pinang
Bertempat di ruang LCE, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, telah berlangsung seminar yang bertajuk TEKAD (Tempat kerja bebas dadah) pada 25 Julai 2024 yang lepas. Seminar anjuran bersama AADK Negeri Pulau Pinang dan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang ini juga mendapat kerjasama dari Bahagian PJIM&A, Bahagian HEP dan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Objektif utama seminar ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan dadah di tempat kerja dan cara-cara untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bebas dari pengaruh dadah. Selain itu, seminar ini juga akan memberikan panduan praktikal dan sokongan untuk membantu individu dan organisasi dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
Seramai 105 orang peserta yang terdiri daripada pekerja pelbagai sektor awam dan swasta di dalam Negeri Pulau Pinang telah menghadiri seminar yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Antara penceramah yang menyampaikan ceramah pada seminar ini adalah Puan Nur Farhana binti Md Yusoff, Cik Nor Hajar Aswat Kamis, Pegawai Perhubungan Awam AADK Negeri Pulau Pinang dan Ts. Dr. Mohamad Halim Mohamad Shariff, pensyarah UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam.
Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy bin Razali telah berbesar hati merasmikan seminar tersebut. Turut hadir bersama mengiringi Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang adalah Pengarah AADK Pulau Pinang, Puan Elmariah Chung; Timbalan Rektor PJIMA UiTM Cawangan Pulau Pinang, PM Dr Kay Dora Abd Ghan; Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Tuan Haji Ahmad Faizar Bin Jaafar; Penolong Pengarah AADK Pulau Pinang, En Mohd Zaki bin Ablah dan Ketua AADK Daerah Seberang Perai Tengah, Puan Suridah binti Saadi.
Comments
Post a Comment