Dari JDT ke UiTM Cawangan Pulau Pinang
Pada 22 Ogos yang lalu, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menerima rombongan dua buah bas daripada SMK Tun Fatimah Hashim, Johor Bahru, Johor. Rombongan seramai 76 orang pelajar tingkatan 4 dan 5 ini turut diiringi oleh 8 orang guru pengiring.
Misi akademik dimulakan dengan sesi bergambar beramai-ramai di pekarangan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang. Selepas sesi bergambar, para pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan telah dibawa melawat di sekitar perpustakaan sambil mendengar taklimat ringkas mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di PTAR UiTMCPP. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh staf Unit Perkhidmatan Perpustakaan PTAR iaitu Encik Mohd Shafarin Saad dan Encik Mohd Saiful Effendy Mohd Shukeri.
Selepas sesi lawatan, para pelajar berkumpul di ruang Library Community Engagement (LCE) untuk mendengar taklimat misi akademik yang dimulai dengan taklimat Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan (FPHP) yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azila Azmi, Ketua Pusat Pengajian FPHP. Selesai taklimat tersebut, taklimat Pusat Kejuruteraan Kimia (PKK) telah disampaikan dan seterusnya taklimat Pusat Kejuruteraan Mekanikal disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Sh Mohd Firdaus Bin Sh Abdul Nasir.
Sebelum para pelajar dibawa melawat ke fakulti-fakulti tersebut, satu sesi menandatangani Jaringan Perkongsian Pintar SMK Tun Fatimah Hashim dan UiTM Cawangan Pulau Pinang telah diadakan untuk program-program akademik seterusnya antara kedua belah pihak. Para pelajar kemudiannya meneruskan aktiviti pagi itu dengan sesi kuiz mini sebelum dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk sesi lawatan fakulti.
Diharap program misi akademik ini menjadi penghubung antara kedua-dua belah pihak dalam program akan datang di samping memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang dunia pengajian universiti.
Comments
Post a Comment