Bengkel Asas Penulisan Kreatif

Pada 18 Ogos 2023, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Kreatif bertempat di ruang "Library Community Engagement" (LCE), PTAR UiTMCPP. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Puan Liza Suhana Ramli, yang merupakan penulis buku di bawah naungan rumah penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Bonda Nor Sdn. Bhd.


Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran UiTM Cawangan Pulau Pinang serta peserta-peserta organisasi luar UiTM telah mengikuti bengkel yang berlangsung selama setengah hari ini. 

Antara objektif penganjuran bengkel ini ialah untuk mencungkil bakat baharu penulis novel/cerpen dalam kalangan warga kampus serta memberi pendedahan awal mengenai teknik penulisan novel/cerpen kepada para peserta. Bengkel ini juga diharap dapat menggalakkan peserta menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis ke dalam bentuk penulisan berimpak tinggi. Ia juga diharap dapat mendedahkan dan menggalakkan warga kampus untuk menyertai aktiviti pembacaan dan galakan membaca.

Puan Liza Suhana telah berkongsi tips-tips untuk menjadi seorang penulis yang baik selain topik-topik berkaitan jenis-jenis penulisan, etika penulisan dan penulisan dakwah. Sesi bengkel juga diselangi dengan penceramah menjawab pertanyaan peserta tentang topik-topik yang berkenaan.

Bengkel diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan juga jualan buku-buku karya Puan Liza Suhana Ramli. Diharap bengkel asas penulisan kreatif ini dapat memberi pendedahan ke alam penulisan kreatif kepada para peserta.



 

Comments