Lawatan PTAR UiTMCPP ke PTAR UiTM Shah Alam Sempena Bengkel ELMS

Shah Alam, 24 Januari 2025 – Seramai 11 orang staf dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP), yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTMCPP, telah mengadakan lawatan kerja ke PTAR UiTM Shah Alam. Lawatan yang bermula jam 3.30 petang ini bertujuan untuk sesi Q&A tentang Sistem PERMATA serta melihat dengan lebih dekat bagaimana PTAR UiTM berfungsi sebagai perpustakaan induk.

Atur cara dimulakan dengan sesi pertama iaitu bengkel mengenai ELMS (PERMATA) yang dikendalikan oleh Encik Arshad Bujang bersama pasukannya. Dalam sesi tersebut, pelbagai soalan telah diajukan oleh peserta berhubung dengan proses kerja sistem pencarian data bahan dan isu teknikal lain yang berkaitan. Interaksi yang penuh produktiviti ini membantu meningkatkan kefahaman peserta terhadap sistem PERMATA yang digunakan.

Seterusnya, sesi 'townhall' bersama Ketua Pustakawan PTAR UiTM Shah Alam, Ts. Haji Azizi Haji Jantan telah diadakan. Beliau berkongsi wawasan berkaitan hala tuju perpustakaan, yang menekankan aspek peningkatan teknologi AI, pengurusan bahan perpustakaan, pembangunan 'skill set' staf, serta transformasi ekosistem perpustakaan ke arah yang lebih maju dan relevan. Beliau turut menekankan kepentingan arkib universiti sebagai khazanah ilmu untuk dijadikan sumber rujukan generasi akan datang.

Rombongan seterusnya dibawa melawat ke sekitar PTAR 1, termasuk ke ruang Bicara PTAR, yang sering menjadi lokasi program-program langsung, dan ruang koleksi khas Jawi. Peserta turut kagum melihat karya bertulisan Jawi yang ditempatkan di ruang tersebut, hasil sumbangan individu dan komuniti, yang menjadi bukti pentingnya melestarikan warisan budaya ini.

Lawatan berakhir pada jam 6.30 petang dengan penuh bermakna. Pertukaran ilmu dan pengalaman ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman serta kecekapan staf PTAR UiTMCPP dalam menguruskan sistem perpustakaan ke arah kecemerlangan.

Comments