Lawatan Ketua Pustakawan UiTM ke PTAR UiTMCPP

Pada 27 Januari 2025 yang lalu, Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Haji Azizi Haji Jantan telah mengadakan lawatan rasmi ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) di Kampus Permatang Pauh dan Kampus Bertam. Lawatan ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan bertujuan untuk bertemu dengan staf-staf perpustakaan cawangan di samping meninjau fasiliti serta membincangkan usaha penambahbaikan perpustakaan dalam menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.

Lawatan bermula dengan pertemuan rasmi Ts. Haji Azizi bersama Prof. Dato' Ir Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali, yang menjalankan fungsi Rektor UiTMCPP, di pejabat Rektor. Perbincangan antara kedua-dua pihak tertumpu kepada inisiatif dan strategi perpustakaan dalam memperkasakan peranan PTAR sebagai pusat sumber ilmu yang berteraskan teknologi AI sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.


Seterusnya, Ts. Haji Azizi melawat ruang cadangan bilik arkib di Kolej Zamrud bagi menilai kesesuaian lokasi dan kemudahan yang boleh disediakan untuk menyimpan bahan-bahan bersejarah dan penting bagi UiTMCPP. Di dalam ucapan beliau bersama staf, beliau menekankan tentang pemeliharaan sumber arkib untuk pengguna masa hadapan.

Ketua Pustakawan kemudian meneruskan lawatan ke sekitar PTAR UiTMCPP dengan diiringi oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar. Lawatan ini memberikan gambaran jelas mengenai struktur, kemudahan, serta perkhidmatan perpustakaan yang sedia ada bagi memenuhi keperluan pelajar dan pensyarah.

Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan, satu sesi ‘townhall’ bersama staf PTAR UiTMCPP telah diadakan di Ruang LCE, PTAR UiTMCPP. Sesi ini membolehkan Ketua Pustakawan berinteraksi secara langsung dengan staf perpustakaan serta mendengar pandangan dan cadangan dalam usaha memperkasakan lagi peranan PTAR selain penegasan pencapaian sasaran pendigitalan perpustakaan UiTM menjelang tahun 2031.


Lawatan diteruskan ke Kampus Bertam, di mana Ts. Haji Azizi bertemu dengan Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Noor, Penolong Rektor Kampus Bertam. Beliau turut melawat sekitar PTAR UiTMCPP Kampus Bertam diiringi oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar dan Puan Nurhayati Hassan, Pustakawan Kanan PTAR Kampus Bertam.

Lawatan ke perpustakaan cawangan ini mencerminkan komitmen Ketua Pustakawan UiTM dalam memastikan PTAR UiTMCPP terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang menyokong pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan di UiTMCPP. Beliau juga berharap semua staf perpustakaan berganding bahu dengan pihak pentadbiran perpustakaan dalam menjayakan hala tuju yang telah dirangka untuk manfaat kedua-dua belah pihak.

Comments