Lawatan dari SK Taman Inderawasih, Seberang Jaya ke PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang
PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menerima satu lawatan sambil belajar daripada Sekolah Kebangsaan Taman Inderawasih, Seberang Jaya pada 28 Oktober 2025 (Selasa) bermula jam 11.30 pagi, yang melibatkan penyertaan seramai 77 orang murid bersama 11 orang guru pengiring. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah mengenai peranan dan fungsi perpustakaan universiti sebagai pusat sumber ilmu, rujukan akademik serta penyelidikan yang menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat.
Sepanjang sesi lawatan, para peserta telah diberi taklimat yang komprehensif berkaitan kemudahan fizikal, perkhidmatan maklumat, koleksi bahan bacaan serta pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dijalankan oleh PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang dalam menyokong pembudayaan ilmu dan literasi maklumat. Penerangan ini secara tidak langsung membantu murid-murid memahami kepentingan perpustakaan sebagai medium pembelajaran di peringkat pengajian tinggi serta membuka minda mereka terhadap suasana dan ekosistem universiti.
Terdahulu, semua murid telah menyertai Program Khidmat Masyarakat: Kem Pembangunan Minda dan Memperkasakan Ilmu anjuran PKE UiTMCPP yang berlangsung di dewan besar, sebelum meneruskan sesi lawatan ke PTAR. Program lawatan seumpama ini bukan sahaja dapat menyemai minat membaca dan kecintaan terhadap ilmu pengetahuan sejak usia muda, malah turut berperanan dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti sekolah setempat secara berterusan.


Comments
Post a Comment