Bual Bicara Santai: “Bahasa di Sebalik Tawa” Kupas Bahasa Humor dalam Sitkom Komedi Melayu
Pulau Pinang, 29 April 2026 – Program Bual Bicara Santai: Bahasa di Sebalik Tawa telah berjaya dilaksanakan secara hybrid, iaitu secara atas talian melalui YouTube PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang serta secara fizikal di PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh.
Program yang berlangsung dari pada pukul 10.00 pagi ini menampilkan dua orang panel jemputan iaitu Dr. Rozaimah binti Rashidin, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam dan Dato’ A. Rahim bin Muda (Imuda), seorang selebriti tanah air yang tidak asing dalam dunia hiburan komedi Melayu.
Sesi perbincangan ini dikendalikan oleh Dr. Wan Hasmah binti Wan Teh dari Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia selaku moderator program.
Perbincangan memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa humor dalam sitkom komedi Melayu serta bagaimana elemen jenaka yang dipaparkan bukan sekadar hiburan semata-mata, malah sarat dengan makna tersirat, sindiran halus, serta gambaran realiti sosial masyarakat. Para panel turut mengupas peranan bahasa dalam membentuk keberkesanan humor serta impaknya terhadap pemahaman penonton.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang hadir secara fizikal dan dalam talian, serta berjaya mencapai objektif dalam memberi pencerahan mengenai hubungan antara bahasa, humor dan budaya dalam karya komedi Melayu.
Penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua panel jemputan, moderator serta peserta yang telah menjayakan program ini.



Comments
Post a Comment