PROGRAM SPEED READING PTAR KAMPUS PERMATANG PAUH TINGKAT KEMAHIRAN PEMBACAAN STRATEGIK PESERTA


 Pada 6 Mei 2026 (Rabu), PTAR Kampus Permatang Pauh telah menganjurkan Program Speed Reading bertempat di Pusat IT, PTAR. Program ini telah disertai oleh seramai 18 orang peserta daripada pelbagai agensi dan institusi sekitar Pulau Pinang, antaranya Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Kehakiman Negeri Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, Masjid Negeri Pulau Pinang serta Masjid Daerah Seberang Perai Selatan.
Program ini bertujuan memperkasakan teknik pembacaan pantas secara sistematik, di samping meningkatkan tahap kefahaman dan kemahiran berfikir secara strategik dalam kalangan peserta. Selain memberi penekanan kepada aspek kelajuan membaca, program ini turut menegaskan bahawa penguasaan maklumat dan kefahaman isi kandungan merupakan elemen penting dalam memastikan kualiti pembacaan yang berkesan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi, sikap proaktif serta semangat ingin tahu yang amat memberangsangkan. Pelbagai aktiviti interaktif dan latihan praktikal yang dijalankan turut membantu peserta memahami dan menguasai teknik Speed Reading dengan lebih efektif.
Program diakhiri dengan sesi penyerahan buku sumbangan daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang kepada PTAR sebagai simbol jalinan kerjasama strategik serta penghargaan antara institusi.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh:
Puan Farleen Azrina binti Zamberi, Pustakawan Kanan (Penceramah)
Puan Nor Azriena binti Yusuf, Pembantu Pustakawan Kanan (Fasilitator)
Puan Noor Sapiza binti Tajudin, Pembantu Pustakawan (Fasilitator)
Semoga program seperti ini terus memberi manfaat dalam membudayakan pembacaan berkualiti serta memperkukuh kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.

Comments