Program Bimbingan Penulisan Pantun Bersama Roslan Madun
Permatang Pauh, 30 April 2026 – Program Bimbingan Penulisan Pantun anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara berlangsung dengan jayanya di Kampus Permatang Pauh pada Khamis, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program ini menampilkan penggiat seni budaya tanah air, Roslan Madun, sebagai pembimbing utama yang berkongsi ilmu serta pengalaman luas dalam bidang penulisan dan penyampaian pantun. Beliau yang terkenal dengan lagu “Lemak Manis” memberikan pendedahan mendalam mengenai teknik menghasilkan pantun yang baik, kreatif dan bermakna, dengan penekanan khusus terhadap aspek pembayang pantun sebagai elemen penting dalam struktur pantun tradisional Melayu.
Sesi bimbingan dijalankan secara interaktif melalui pendekatan pra-aktiviti, di mana para peserta terlebih dahulu diminta menghasilkan pantun sebelum program berlangsung. Pantun yang dihasilkan kemudiannya dibacakan oleh Roslan Madun untuk tujuan penilaian, teguran membina serta perkongsian idea penambahbaikan dari sudut bahasa, kreativiti dan kesesuaian pembayang serta maksud.
Selain itu, peserta turut diberi ruang untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada penceramah, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran dua hala yang lebih berkesan dan dinamik. Pendekatan ini membantu peserta memahami dengan lebih jelas teknik dan seni dalam menghasilkan pantun yang berkualiti tinggi.
Program turut diserikan dengan persembahan istimewa apabila Roslan Madun mendendangkan lagu popular beliau “Lemak Manis”, yang mendapat sambutan meriah daripada para peserta. Suasana bertambah gamat apabila beliau turut berduet bersama peserta menyanyikan lagu “Gurindam Jiwa”, yang menghidupkan lagi suasana apresiasi seni budaya Melayu.
Kemuncak program menyaksikan kolaborasi santai antara Roslan Madun dan Imuda yang berduet bersama, sekali gus menambah elemen hiburan dalam program yang berteraskan ilmu dan warisan sastera Melayu ini.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang teknik penulisan pantun, malah berjaya menyemai minat generasi muda terhadap warisan puisi tradisional Melayu melalui pendekatan yang interaktif, santai dan menyeronokkan.



Comments
Post a Comment