World #QuranHour 1446H Peringkat Negeri Pulau Pinang di PTAR UiTM!
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh telah dipilih sebagai lokasi bersama penganjuran Program World #QuranHour 1446 Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi Daerah Seberang Perai Tengah yang berlangsung hari ini.
Program berkenaan dianjurkan sebagai usaha menyatukan ummah melalui Misi #SAFF10K, iaitu satu gerakan global yang mengajak masyarakat Islam mengukuhkan perpaduan dan memperteguh barisan melalui penghayatan Surah Al-Saff (Surah ke-61 yang mengandungi 14 ayat) sebagai panduan utama kehidupan dan perjuangan.
World #QuranHour 1446H kali ini membawa tema “Dunia Berbudi & Penyayang”, yang menekankan kepentingan nilai kasih sayang, kesatuan dan akhlak mulia berteraskan ajaran Al-Quran. Penganjuran program ini selaras dengan matlamat untuk menghimpunkan 10,000 ummah dalam satu saff perjuangan secara serentak di seluruh dunia.
Pelaksanaan program di PTAR UiTM Pulau Pinang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Ruang LCE, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kampus Permatang Pauh. Program ini melibatkan penyertaan warga universiti serta komuniti setempat yang bersama-sama menyertai sesi bacaan, tadabbur dan penghayatan Al-Quran secara serentak.
Penganjuran World #QuranHour ini diharap dapat menyemai semangat perpaduan, memperkukuh jati diri umat Islam serta menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam membentuk masyarakat yang beradab, berbudi dan penyayang, sejajar dengan aspirasi Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.


Comments
Post a Comment