Bengkel Kaligrafi Islam
Sempena cuti sekolah yang lalu, Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama PTAR UiTMCPP dan Yayasan Restu telah mengadakan Bengkel Kaligrafi Islam yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 September 2024. Bengkel yang diadakan di ruang Library Community Engagement (LCE) ini telah disertai oleh 26 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak staf UiTM, staf UiTM dan pelajar sekolah berumur 10 tahun ke atas.
Pengisian bengkel adalah ceramah tentang penulisan khat, jenis-jenis tulisan khat dan latihan penulisan khat dengan bantuan dan tunjuk ajar oleh pengajar daripada Yayasan Restu. Selain daripada mengisi masa terluang pada cuti sekolah, bengkel ini diadakan dengan tujuan untuk memperkenalkan tulisan khat kepada para peserta di samping memupuk minat peserta mempelajari tentang tulisan khat.
Para peserta telah dibekalkan dengan peralatan menulis khat iaitu batang resam, dakwat dan kertas latihan menulis khat sepanjang bengkel berlangsung. Di akhir bengkel, semua peserta berlatih menulis mushaf Al-Fatihah dan tulisan paling cantik berpeluang mendapat hadiah yang telah disediakan. Hadiah dan sijil penyertaan telah disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTMCPP dan Ustaz Zamri Samsudin, Ketua UHEI UiTMCPP.
Comments
Post a Comment