Inspirasi Pengajian Tinggi Bersama UiTM
Program Eksplorasi Pengajian & Kerjaya UiTM telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Mei 2026 (Khamis) bertempat di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program anjuran Misi Akademik UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang ini telah menghimpunkan seramai 120 orang pelajar tingkatan 5 daripada tiga buah sekolah iaitu SMK Permatang Tok Jaya, SMK Selama dan SMK Serdang Baru.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang pengajian dan hala tuju kerjaya di UiTM. Antara pengisian menarik yang diadakan termasuk sesi taklimat fakulti, lawatan ke makmal, dapur dan perpustakaan serta aktiviti speed reading yang memberi peluang kepada pelajar mempelajari asas teknik pembacaan pantas.
Melalui aktiviti ini, para pelajar didedahkan dengan kaedah meningkatkan fokus, kefahaman serta kecekapan membaca dalam tempoh masa yang lebih singkat. Aktiviti interaktif tersebut turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar kerana membantu mereka memahami teknik pembelajaran yang lebih efektif dan menyeronokkan.
Diharapkan program seperti ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada para pelajar dalam merancang masa depan akademik dan kerjaya mereka.



Comments
Post a Comment