SAMBUTAN HARI ARKIB ANTARABANGSA 2026: ARCHIVES FOR JUSTICE


Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 pada 9 Jun 2026 dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Sambutan pada tahun ini mengangkat tema “Archives for Justice” yang menekankan peranan arkib sebagai sumber maklumat yang sahih, telus dan berwibawa dalam menyokong keadilan serta pemeliharaan memori institusi.
Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk Penulisan Surat, Memo dan Emel Rasmi UiTM yang disampaikan oleh Puan Farleen Azrina binti Zamberi. Sesi tersebut disertai oleh wakil staf daripada setiap bahagian dan unit di UiTM Cawangan Pulau Pinang serta memberi pendedahan mengenai format dan tatacara penulisan surat, memo dan emel rasmi yang betul.
Program diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk Penentuan Awal Bulan Islam yang disampaikan oleh Ustaz Ferdaus bin Hashim, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Perkongsian ini amat bertepatan dengan sambutan Awal Muharam yang bakal diraikan pada 17 Jun 2026. Para peserta berpeluang menambah pengetahuan mengenai sistem solar, ilmu falak serta kaedah penentuan tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam.
Selain sesi perkongsian, para peserta turut berpeluang mengunjungi pameran khas berkaitan tokoh-tokoh astronomi Islam yang menampilkan sumbangan ilmuwan Islam dalam bidang astronomi dan falak. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang turut mengadakan jualan buku-buku terpilih yang berkaitan dengan ilmu falak, astronomi Islam dan pengajian Islam bagi memupuk budaya ilmu dalam kalangan warga universiti.
Turut mendapat perhatian ialah demonstrasi penjilidan yang dikendalikan oleh staf Unit Arkib. Demonstrasi ini mempamerkan kaedah membaiki buku yang rosak melalui teknik jahitan dan teknik gam, selain memberi pendedahan mengenai peralatan-peralatan yang digunakan dalam proses penjilidan. Aktiviti ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran warga universiti tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan bahan bercetak sebagai sebahagian daripada warisan ilmu dan rekod institusi.
Sebagai pengisian tambahan, warga universiti turut berpeluang menyaksikan pemerhatian objek-objek di langit menggunakan teleskop Sky-Watcher yang dibawa khas oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Aktiviti ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik dan bermakna kepada para peserta.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Semoga penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan arkib sebagai sumber rujukan yang bernilai serta menggalakkan penghayatan terhadap warisan ilmu, sejarah dan pemeliharaan rekod untuk generasi akan datang.


 

Comments