PERTANDINGAN TINY TECHIES 2025 PERINGKAT NEGERI DAN WILAYAH UTARA
Pertandingan Tiny Techies 2025 Peringkat Negeri dan Wilayah Utara telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, ICAN UiTMCPP dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), dengan sokongan daripada MAKERS IIUM serta Sukarelawan Siswa. Program ini telah berlangsung pada 20 dan 21 Ogos 2025, iaitu pada hari Rabu dan Khamis, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Aras 2 dan Ruang LCE, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Pada hari pertama penganjuran, pelajar sekolah rendah telah menyertai bengkel asas yang merangkumi pengaturcaraan, kawalan robot dan strategi persediaan pertandingan, manakala pelajar sekolah menengah pula mengikuti Bengkel Inovasi IoT yang berfokuskan kepada aplikasi robotik. Hari kedua program menyaksikan pelaksanaan pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Pertandingan Robot Sumo bagi pelajar sekolah rendah dan Pertandingan Inovasi Berteraskan Robotik untuk pelajar sekolah menengah.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap asas pengekodan dan robotik melalui kaedah pembelajaran yang ringkas serta menyeronokkan dengan penggunaan kit Microbit dan peralatan robotik. Program ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk meneroka dan mempelajari penggunaan kit baharu yang diterima, sekali gus dapat menyemai minat serta meningkatkan kecenderungan mereka terhadap bidang pengaturcaraan dan robotik.
Majlis perasmian dan penutup program telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali selaku Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Penyampaian hadiah kepada para pemenang turut disempurnakan bersama Dr. Wan Hazwan Wan Daud, Pengarah Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa Malaysia, serta Encik Mohd Rashdi Hasan, Ketua Seksyen Kawal Selia SKMM Pulau Pinang.


Comments
Post a Comment