Lawatan Penandaaras Program Jelajah Teknologi IR 4.0 ke Makerspace@Englib dan Penang Science Cluster
Sebagai sebahagian daripada Program Jelajah Teknologi IR 4.0, satu lawatan penandaaras yang melibatkan seramai 30 orang sukarelawan perpustakaan UiTM Cawangan Pulau Pinang, 8 orang staf PTAR UiTMCPP, seorang pensyarah, dan 3 orang pelajar praktikal Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah dijalankan pada 29 Oktober 2024. Lawatan ini merangkumi dua destinasi utama iaitu Makerspace@EngLib di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal dan Penang Science Cluster di Georgetown.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan Makerspace dan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dalam pendidikan dan kehidupan masa depan. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar, sekolah, dan masyarakat umum, terutamanya dalam menyemai Budaya Pembuat (Maker Culture) di kalangan generasi muda.
Destinasi pertama lawatan adalah Makerspace@EngLib, sebuah ruang yang terletak di Perpustakaan Kejuruteraan, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM). Makerspace ini dilengkapi dengan pelbagai alat canggih termasuk pencetak 3D, pengukir laser, PC desktop, dan banyak lagi, yang menyediakan platform bagi sesiapa sahaja untuk mencipta dan menghasilkan projek mereka sendiri.
Seterusnya, peserta lawatan ke Penang Science Cluster (PSC) di Georgetown, yang merupakan sebuah organisasi yang menyokong pembangunan teknologi dan inovasi melalui pelbagai program dan inisiatif. PSC berperanan sebagai pemangkin dalam memperkenalkan idea-idea baru yang berkaitan dengan dunia STEM dan yang menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). PSC juga mengendalikan bengkel seperti Mikro:bit, Robotik Lego, Arduino, Pengaturcaraan Scratch, dan Permodelan 3D kepada komuniti setempat yang berminat.
Program lawatan penandaaras ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi pembelajaran dan pendedahan teknologi, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyemai semangat inovasi dalam kalangan generasi muda, sebagai persediaan menghadapi cabaran era Industri 4.0. Pihak perpustakaan juga berharap lebih ramai pelajar yang terinspirasi untuk terlibat dalam projek-projek kreatif dan teknologi yang dapat membawa mereka ke arah masa depan yang lebih inovatif.
Comments
Post a Comment