Bengkel AI Generatif Bersama Warga Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pulau Pinang (MBSP)
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel AI Generatif: Transformasi Gaya Kerja untuk Produktiviti bertempat di Pusat IT, PTAR UiTMCPP. Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 95 peserta, terdiri daripada kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pulau Pinang. Bengkel ini telah diadakan sebanyak 2 sesi iaitu pada 15 Januari 2025 dan 16 Januari 2025 yang melibatkan peserta pelbagai jawatan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai.
Bengkel pada sesi 1 turut disertai oleh YBhg. Dato' Hj. Baderul Amin bin Abdul Hamid, Datuk Bandar MBSP. Dalam ucapan beliau, Dato' Hj. Baderul Amin menegaskan bahawa penggunaan AI Generatif adalah penting untuk mengoptimumkan keberkesanan kerja, seiring dengan perubahan landskap teknologi masa kini.
Bengkel yang dibimbing oleh pembimbing AI yang juga pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Ts. Dr. Suhailah Mohd Nor ini berjalan lancar dengan interaksi dua hala yang memberangsangkan antara pembimbing dan peserta. Aktiviti praktikal serta simulasi langsung melibatkan penggunaan alat AI Generatif telah memberikan pendedahan kepada para peserta tentang kaedah penggunaan teknologi ini dalam mengurus dan menyelesaikan tugasan.
Bengkel ini merupakan sesi kedua dan ketiga selepas kejayaan sesi pertama yang berlangsung pada 14 Januari 2025. Secara keseluruhannya, bengkel ini mendapat sambutan yang sangat baik dan berjaya meningkatkan kefahaman peserta tentang AI Generatif, sekaligus mencapai matlamat untuk mempersiapkan mereka ke arah penerapan teknologi moden dalam persekitaran kerja masing-masing.
Comments
Post a Comment