KARNIVAL PTAR 2026 MERIAH DI UITM PULAU PINANG


Permatang Pauh, 30 April 2026 – Karnival PTAR 2026 yang diadakan di PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh dari 28 hingga 30 April 2026 berlangsung dengan penuh meriah serta mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus dan pengunjung luar.
Bertemakan pengisian ilmu, santai dan komuniti, karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan buku pada harga istimewa, sesi telaah bersama penulis Liza Nur, serta pelbagai aktiviti santai dan interaktif yang berjaya menarik minat pengunjung sepanjang program.
Antara pengisian istimewa ialah program bimbingan pantun bersama Roslan Madun, penyanyi lagu “Lemak Manis”, yang memberikan pendedahan dan panduan penulisan pantun dengan memberi fokus khusus kepada aspek pembayang pantun sebagai elemen penting dalam menghasilkan pantun yang baik, kreatif dan bermakna. Sesi ini turut dijalankan secara interaktif bagi memberi pemahaman lebih mendalam kepada para peserta.
Karnival ini turut diserikan dengan sesi eksklusif bersama Dato’ Imuda dan Klangit, santapan rohani bersama Ustaz Au’ni, reruai bahasa sempena Open Day Akademi Pengajian Bahasa (APB), debat santai “Road to Piala Rektor”, aktiviti derma darah serta cabutan bertuah yang menambah kemeriahan program.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik seperti DBP Wilayah Utara, APB UiTM Cawangan Pulau Pinang, Unit Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Baling, Stailo Event, Meem Gold dan YAPEIM.
Secara keseluruhan, Karnival PTAR 2026 berjaya mencapai objektif dalam memupuk budaya ilmu, kreativiti dan interaksi komuniti, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, agensi serta masyarakat setempat.

Comments