Program Pemerkasaan Pendidikan Digital (BYOD) iPad Apple Perkukuh Transformasi Pendidikan di Pulau Pinang
Program Pemerkasaan Pendidikan Digital (BYOD) menggunakan iPad Apple telah berjaya dianjurkan selama tiga hari bermula 8 hingga 10 April 2025 bertempat di Ruang LCE Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Aras 2 PTAR, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP).
Program ini merupakan anjuran bersama Switch Apple Malaysia, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Pulau Pinang dengan kerjasama strategik PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang. Ia bertujuan memperkasa penggunaan teknologi digital dalam pendidikan melalui pendekatan Bring Your Own Device (BYOD) selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.
Seramai Guru Besar dan guru-guru ICT dari sekolah-sekolah di seluruh Pulau Pinang telah menyertai program ini. Sepanjang program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, para peserta didedahkan dengan pelbagai kaedah inovatif penggunaan iPad Apple dalam pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta integrasi aplikasi pendidikan yang efektif.
Antara fokus utama program ini ialah meningkatkan kompetensi digital pemimpin sekolah dan guru ICT, di samping memperkukuh ekosistem pendidikan digital yang lebih interaktif, kreatif dan berkesan. Sesi latihan, bengkel praktikal dan perkongsian amalan terbaik telah memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai potensi teknologi Apple dalam bilik darjah.
#programkerjasama #appleipad #switchmalaysia #ptaruitmcpp #libraryuitm #sekolahpulaupinang


Comments
Post a Comment