FREE MARKET@BERTAM 2025 KEMBALI MERIAH

 


Pulau Pinang, 16 Jun 2025 – Program FREE MARKET@BERTAM 2025 telah kembali dianjurkan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam sebagai satu inisiatif perkongsian barangan secara percuma kepada warga kampus dan komuniti setempat.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang ini menawarkan konsep “Ambil Apa Sahaja, Tiada Bayaran” di mana pelbagai barangan seperti pakaian, buku, aksesori, barangan rumah dan lain-lain disediakan secara percuma untuk dikongsi, bukan untuk dijual. Pendekatan ini bertujuan menyemai nilai keprihatinan, kebersamaan dan amalan berkongsi dalam kalangan masyarakat kampus.





Penganjuran FREE MARKET@BERTAM 2025 ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dengan memberi penekanan kepada penglibatan aktif staf dalam budaya kitar semula. Inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup lestari melalui amalan kitar semula dan pengurangan pembaziran.

Program ini terbuka kepada semua warga kampus serta komuniti setempat dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Para pengunjung turut digalakkan untuk membawa beg sendiri sebagai sokongan terhadap amalan mesra alam.

FREE MARKET@BERTAM 2025 bukan sahaja menjadi platform perkongsian rezeki, malah turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

#FreeMarketBertam2025 #UiTMCPP #PTARUiTM #KomunitiBertam #FreeForAll #ReuseReduceRecycle #KongsiRezeki #UiTMDiHatiku #SDG12

Comments